Home » , » 'Saya tidak pernah jumpa syarikat rugi satu bilion ringgit setiap tahun'

'Saya tidak pernah jumpa syarikat rugi satu bilion ringgit setiap tahun'

Written By Wadah Baru on Jumaat, 8 September 2017 | 5:00 PTG

 Oleh Arif Atan 

Sepanjang kira-kira dua dekad terlibat dalam bidang kewangan, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengakui tidak pernah beliau menemui sebuah syarikat yang mencatatkan kerugian mencecah sehingga RM1 bilion setiap tahun.

Menurutnya, sejak Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2012, kumpulan Felda telah mencatatkan kerugian tahunan pada jumlah yang besar berturut-turut sehingga 2015.

"Kumpulan Felda telah mencatatkan kerugian komprehensif yang melebihi satu bilion ringgit setiap tahun tanpa gagal iaitu RM1.67 bilion tahun 2013, RM1.1 bilion (2014) dan RM1.112 bilion (2015).

"Pengalaman saya lebih kurang 20 tahun dalam bidang kewangan, saya tidak pernah jumpa syarikat rugi RM1 bilion setiap tahun. (Kerugian) Tak masuk tahun 2016, 2017. Mungkin lagi teruk?

"Namun, setakat ini yang dikeluarkan sehingga 2015, kerugian terkumpul daripada itu saja hampir RM3.9 bilion," dedahnya pada sidang media di Sungai Besi, Selangor hari ini.

Sehubungan itu, pengasas Invoke Malaysia berkenaan mahu memaklumkan kepada orang ramai terutama generas baru Felda yang antaranya menjadi golongan profesional selain akauntan bertauliah dan penganalisa kewangan tentang status Felda pada masa ini.

"Jika kumpulan Felda adalah sebuah syarikat biasa yang tidak dijamin kerajaan, dengan prestasi kewangan yang rugi lebih satu bilion ringgit setiap tahun, syarikat itu sudah tentu diisytihar muflis," tempelaknya.

Walaupun impak kejatuhan mendadak harga saham FGV tidak akan memberi kesan segera terhadap status kewangan kumpulan Felda, Rafizi berkata, masalah akan berlaku apabila kumpulan Felda tiba satu tahap terpaksa menjual kesemua saham FGV.

"Sebarang perubahan harga saham FGV tidak serta-merta mempengaruhi prestasi kewangan Felda. Ia hanya akan ditunjukkan sekaligus apabila Felda menjual saham-saham tersebut.

"Namun, hal ini cukup berbahaya apabila ia berlaku. Kumpulan Felda saya jangka akan jatuh muflis kerana kerugian daripada kejatuhan harga saham FGV yang telah berbilion ringgit akan ditunjukkan sebagai kerugian sekaligus dalam satu tahun kewangan.

"Maknanya kalau terlambat, FGV tidak dapat diselamatkan lagi, sebab itu kita kena tahu apa kesan penyenaraian FGV kepada kumpulan Felda walaupun tidak ditunjukkan serta-merta dalam laporan kewangan Felda yang diaudit," jelasnya.

Oleh sebab itu, tambah Ahli Parlimen Pandan berkenaan lagi, perkara tersebut perlu dicegah daripada berlaku.

Untuk rekod, FGV disenaraikan pada 28 Jun 2012 dan merupakan tawaran awam permulaan (IPO) ketiga terbesar di dunia ketika itu dan dilapor dapat mengumpul dana sebanyak RM10.4 bilion.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger