Home » , » Pengadu domba sebar fitnah Saifuddin Nasution letak jawatan

Pengadu domba sebar fitnah Saifuddin Nasution letak jawatan

Written By Wadah Baru on Khamis, 7 September 2017 | 1:48 PTG


Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail hari ini menjelaskan, ada usaha pihak tertentu mengwujudkan adu domba menyebarkan khabar angin beliau akan melepaskan jawatannya kerana menghadapi krisis dengan pimpinan utama PKR dan Pakatan Harapan.

Beliau yang baru tiba semalam di Kuala Lumpur dalam lawatan 6 hari ke London berkata, beliau dihujani dengan soalan apakah benar beliau telah meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PKR.

"Saya memilih untuk mengeluarkan kenyataan ini sebagai reaksi terhadap persoalan tersebut.
"Walaupun berada di luar negara saya sering berhubung dengan pimpinan utama Keadilan dan Pakatan Harapan. Pimpinan utama Keadilan dan Pakatan Harapan amat maklum akan komitmen saya terhadap parti dan Pakatan Harapan.

"Saya terlibat dengan setiap keputusan parti dan keputusan Pakatan Harapan dan sudah tentu saya patuh dengan semua keputusan yang telah dibuat.

"Khabar bahawa saya 'meletak jawatan' dikaitkan dengan saya dikatakan 'tidak puas hati' dengan arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang 'berunding dengan Pas' dan ekoran daripada itu saya dikecam dan akibatnya saya kecewa, adalah jelas ini satu adu domba daripada pihak yang tidak mahu melihat Keadilan terus stabil dan Pakatan Harapan terus kuat," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Tegas beliau lagi PRK telah berusaha hampir dua tahun mendekati dan menyantuni Pas. Pelbagai usaha dan ikhtiar telah dibuat. Siri-siri pertemuan telah melibatkan Mursyidul Am, Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung dan Pengarah Pilihanraya Pas.

Bagaimanapun beliau berpandangan setiap usaha dan ikhtiar harus ada garis masanya supaya ada kepastian dan ini memudahkan semua pihak.

"Usaha dibuat di sebalik keputusan muktamar dan Majlis Syura yang memutuskan hubungan dengan Keadilan. Demikian Keadilan menunjukkan jiwa besar demi mencapai kerjasama terbaik guna mendepani Umno-BN pada pilihanraya umum ke 14.

"Rakyat dapat melihat dengan jelas usaha ini dan rakyat dapat melihat saban hari Pas menunjuk sikap dingin dengan Keadilan dan Pakatan Harapan sebaliknya semakin lunak dengan Umno-Bn.

"Di sebalik latar politik inilah Pakatan Harapan yang Keadilan adalah komponen nya membuat keputusan untuk mengukuhkan kerjasama pakatan menghadapi pilihanraya umum ke14 dan tidak lagi bekerjasama dengan Pas.

"Tatkala Dato Seri Anwar tampil dengan nota dari penjara, Pakatan Harapan telah membuat keputusan. Mengenali beliau secara dekat, Datuk Seri Anwar seorang yang sangat menghormati setiap keputusan yang dibuat secara bersama dan tidak sukar untuk beliau faham kenapa Pakatan Harapan membuat keputusan tersebut.

"Tidak sukar juga dilihat setelah diusahakan demikian lama, Pas tetap memilih jalannya sendiri. Adalah lebih utama Keadilan menumpukan sepenuh usaha dan tenaga membantu mengukuhkan Pakatan Harapan dan menerima hakikat Pas telah ada pilihannya.

"Kenyataan ini saya keluarkan sejurus saya bercakap dengan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menemani Datuk Seri Anwar di mahkamah. Saya maklumkan bahawa komitmen saya bersama Keadilan dan Pakatan Harapan dan khabar saya meletak jawatan adalah TIDAK BENAR.

"Kepada pihak yang berusaha mencipta khabar itu, menyebarkan dan kemudian merayakannya saya maafkan," terangnya.












2 ulasan:

  1. Walaupun pernah menyepi seketika suatu masa dahulu tetapi tidak pernah beliau lari dari perjuangan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. kita sebagai rakyat, penyokong, pengundi, merasa sidikit ralat kepada segelintir manusia yg berjawatan dlm PKR yg macam dah jadi bodoh tak tau nak gunakan saluran yg sesuai dalam menyampaikan ketidakpuasan hati kepada org lain, ini juga menyumbang kepada krisis kepercayaan pengundi kepada PH...Harap2 siapa juga yg mempunyai perasaan marah kepada org supaya mengambil pendirian seperti DSAI dan saifudin nasution agar ketepikan kepentingan peribadi agar perjuangan untuk rakyat dan negara tidak terjejas kerana ego.

      Padam

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger