Home » , » Manifesto Harapan dimuktamadkan Selasa ini

Manifesto Harapan dimuktamadkan Selasa ini

Written By Wadah Baru on Ahad, 23 Julai 2017 | 9:08 PTG

Pakatan Harapan (Harapan)  akan memuktamadkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Selasa ini termasuk menambah baik dasar yang terkandung dalam dokumen Buku Jingga.
Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata, pengisian manifesto kali ini lebih komprehensif dengan membawa suara segenap lapisan rakyat hasil kekuatan komponen kesemua parti di bawah Pakatan Harapan.
"Hari Selasa ini (25 Julai), kita akan muktamadkan manifesto yang disepakati oleh keempat-empat parti. Kita akan perbaiki lagi (tawaran Buku Jingga).
"Kalau dulu pada 2013 (PRU-13), ada tiga parti tetapi sekarang rakyat Malaysia mempunyai empat parti yang bagi membawa hasrat rakyat kepada perubahan yang lebih baik," ujarnya kepada Malaysia Dateline semalam.
Beliau ditemui selepas perasmian Konvensyen Pemuda Amanah Selangor kali pertama di Bangi Golf Resort.
Anuar Tahir ketika merasmikan Konvensyen Pemuda AMANAH Selangor di Bangi semalam
Buku Jingga merupakan tawaran dan penyelesaian isu rakyat jika diberi mandat di Putrajaya yang disepakati Pakatan Rakyat terdiri daripada PKR, Pas dan DAP.
Dokumen tersebut merupakan alternatif kepada dasar Umno-BN yang antaranya menggariskan agihan pendapatan lebih adil, peningkatan insentif guru, pemansuhan sistem tol lebuh raya dan memerangi rasuah.
Mengulas lanjut tentang perkembangan Pakatan Harapan, Anuar berkata, Umno-BN pastinya gusar dengan pengukuhan blok pembangkang itu terutama selepas pengumuman struktur baharu dan logo rasmi Pakatan Harapan pada 13 Julai lalu.
"Ketika Umno-BN cemas sekarang, bukan sahaja semangat keempat-empat parti melonjak ini tetapi reaksi sebahagian besar rakyat yang sudah jelek dengan bahana korupsi dan pelbagai kepincangan dilakukan rejim pemerintah juga cukup positif.
"Saya percaya gelombang rakyat yang mahukan perubahan lebih besar berlaku selepas ini susulan mesyuarat Majlis Presiden pada Isnin nanti (24 Julai) bersiap untuk menyerahkan pendaftaran Pakatan Harapan," beritahunya.
Beliau menambah, kepimpinan Amanah, Bersatu, PKR dan DAP pada masa ini saling melengkapi dalam menawarkan pilihan terbaik kepada rakyat untuk membebaskan negara daripada rejim kleptokrasi Umno-BN.
"Pakatan Harapan punya ahli politik yang mempunyai pengalaman dalam kerajaan, pakar ekonomi dan undang-undang yang berintegriti. Kita juga cukup pengalaman sebagai pembangkang membawa suara akar umbi rakyat.
"Gabungan kesemua tenaga ini, InsyaAllah menghasilkan perubahan yang membolehkan semua lapisan rakyat hidup lebih adil, makmur dan sejahtera," jelasnya lagi.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger