Home » » Perihal hubungan intim Amanah dan DAP

Perihal hubungan intim Amanah dan DAP

Written By Wadah Baru on Isnin, 15 Mei 2017 | 12:20 PTG

Dr Kamarul Zaman Yusoff telah membuat komentar balas pada 13/5/2017 terhadap tulisan KANUN (FB KANUN 12/5/2017: Jawapan Kepada Dr Kamarul Zaman Yusoff: Isu Persamaan Perlembagaan Parti Amanah Negara Dengan Perlembagaan DAP). Beliau meletakkan tajuknya sebagai “Perihal Hubungan Intim Amanah Dan DAP (Komentar Kepada Serangan KANUN AMANAH).

Pertamanya: KANUN bukan membuat serangan kepada beliau. KANUN hanya membetulkan fakta songsang yang dikemukakan oleh beliau.

Kedanya: Dr Kamarul Zaman mengakui bahawa beliau tersilap fakta berkaitan jumlah ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional (bukan Ahli Majlis Tertinggi seperti yang disebutnya). Kesilapan ini jika dibuat oleh lebai-lebai biasa dan orang yang bukan bertaraf Ph.D adalah tidak menjadi kudis buta. Tetapi jika seorang yang bertaraf Ph.D sepatutnya beliau telah dilatih untuk mengemukakan hujahan yang tepat datanya.

Ketiganya: Beliau masih mengekalkan fitnah yang menyatakan bahawa AMANAH sengaja merahsiakan perlembagaan parti. Katanya, “Melucukan bila KANUN menyebut orang awam boleh membuat carian di RoS jika mereka ingin mendapatkan Perlembagaan AMANAH sedangkan apa yang dibangkitkan adalah mengenai kenapa ia tidak didedahkan untuk pengetahuan seluruh rakyat Malaysia.

Jika tiada apa yang mahu disembunyikan oleh pemimpin AMANAH mengenai perlembagaan ini, mengapa ia tidak disebarkan secara terbuka di laman-laman web yang dimiliki oleh parti itu seperti dibuat parti lain bagi membolehkan seluruh rakyat Malaysia menelitinya?”

Mana mungkin dalam kerangka Akta Pertubuhan 1966 perlembagaan itu disembunyikan. Hujah ini langsung tidak logik dek akal. Bagaimana seorang yang intelek sebegini boleh mempunyai kongkongan sel-sel otak. Kami juga tertanya-tanya adakah beliau telah habis membaca Akta Pertubuhan 1966 khasnya seksyen 28 dan 30 Akta tersebut. Sebenarnya tiada apa yang menjadi rahsia dalam Perlembagaan sesuatu pertubuhan. Asalkan sesuatu pertubuhan itu mempunyai sijil pendaftaran maka orang ramai boleh mendapat akses terhadap perlembagaan pertubuhan itu termasuk sebarang peraturan yang dibuat oleh pertubuhan itu. Seeloknya beliau berhenti membuat tohmahan liar seperti itu.

Keempatnya: Kami menyatakan bahawa sesuatu perlembagaan itu hendaklah dinilai secara menyeluruh. Hakikatnya beliau tetap ingin mewujudkan persepsi persamaan AMANAH dan DAP seolah-olah AMANAH ini khadam dan bangsa suruhan DAP dengan hanya sekadar melihat daripada sudut cara pemilihan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden secara musyawarah sebagai persamaan itu. Sepatutnya beliau melihat juga adakah ada persamaan jawatan dan fungsi jawatan itu.

Jika benar AMANAH ini anak butir DAP mestilah kesemua itu ada persamaan dan bukan setakat melihat kaedah musyarawah pemilihan pimpinan tersebut.

Kelimanya: Beliau menyatakan, “Pelik bila KANUN berpaut dengan kaedah pemilihan khalifah ketiga walhal Perlembagaan AMANAH tiada peruntukan mengenai Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijmak Ulamak dan Qias yang terang dan nyata sebagai hukum tertinggi seperti dalam Perlembagaan PAS.”

KANUN tidak faham bagaimana orang intelek yang berPh.D ini menghuraikan sesuatu perkara. Barangkali beliau hanya pandai bab tebuk-menebuk sahaja dan tidak pandai membaca keseluruhan Perlembagaan AMANAH.

Barangkali beliau tidak menemui Fasal 6.1 Perlembagaan AMANAH yang menyatakan bahawa dasar dan tujuan parti adalah untuk memartabat dan menegakkan Islam sebagai dasar perjuangan. Dengan dasar dan tujuan yang begitu jelas pun beliau masih buat-buat tidak faham bahawa AMANAH adalah parti Islam alternatif kepada Pas.

Keenamnya: Beliau menyatakan, “Sejarah telah tercatat mengenai permusuhan ketat pemimpin DAP dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan mengenai sokongan pemimpin DAP ke atas pemimpin Pas yang cuba menjatuhkan pasukan Abdul Hadi di dalam pemilihan Pas 2015.”

KANUN mencabar beliau untuk mengemukakan bukti mengenai cubaan untuk menjatuhkan pasukan Abdul Hadi itu yang dikatakan olehnya. Katakanlah, ada bukti dongeng itu sekalipun, bukankah Perlembagaan Pas itu sendiri membenarkan pertandingan apa-apa jawatan sekali pun. Yang tidak sihatnya ada arahan daripada ulamak Pas yang menyuruh perwakilan untuk mengundi mengikut ‘chai’ yang ditetapkan. Tidak pula Dr Kamarul Zaman berhajat untuk mengulas mengenai amalan ‘chai’ ini.

Ketujuhnya: Jika ada pun persamaan AMANAH dan DAP adalah hasrat masing-masing untuk membina kerajaan yang telus dan bebas rasuah serta menjatuhkan Barisan Nasional.

Sebab itulah hubungan AMANAH dan DAP adalah rapat kerana kami tidak betah melihat kebejatan UMNO-BN dalam memerintah negara. Sehingga kini, isu 1MDB sendiri dan isu GST adalah contoh kebejatan pemerintahan UMNO-BN. Inilah persamaan kami yang sebenarnya yang seharusnya ditonjolkan oleh beliau. Sebab itu DAP menyokong AMANAH kerana AMANAH menentang UMNO-BN dengan bersungguh-sungguh.

Kesimpulannya, Dr Kamarul Zaman harus lebih berhati-hati apabila menulis sesuai dengan tahap intelektual Ph.D nya. Usahlah direndahkan martabat keilmuan Ph.D nya sehingga menulis pun hanya di tahap macai sahaja.

KANUN ialah Biro Undang-undang Parti Amanah Negara

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger