Home » , » 'Pas putus dengan PKR, berbaik pula dengan Umno'

'Pas putus dengan PKR, berbaik pula dengan Umno'

Written By Wadah Baru on Selasa, 16 Mei 2017 | 8:14 PG

PKR mempersoal sikap aneh Pas yang masih ingin mengekalkan exconya dalam Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Menteri Besar datuk Seri Azmin Ali selepas menamatkan hubungan kerjasama dengan parti itu.
Ketua penerangannya Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Pas sebaliknya semakin mesra dan dikatakan akan menjalinkan 'tahaluf siyasi' dengan Umno.
“Bukankah kerajaan negeri dipimpin menteri besar dan exco yang mana tahaluf (siyasi) dan rundingan politik dengan parti mereka telah terbatal menurut Pas?”
“Datuk Seri Najib Razak dengan bangga turut mengumumkan pembatalan ‘tahaluf siyasi’ antara Pas dan PKR dalam ucapannya (ketika sambutan ulang tahun Umno ke-71, Khamis lalu). Saya juga terbaca ada yang mendakwa kedua-dua Najib dan Hadi telah bertemu sejurus sebelum itu.
“Ini seolah-olah menggambarkan ‘tahaluf siyasi’ antara Umno dan Pas telah termeterai. Jika dahulu hanya ‘ijab’, sekarang semacam sudah ‘kabul’," katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis Syura Ulamak Pas baru-baru ini sebulat suara mengambil keputusan menamatkan kerjasama politik dengan PKR secara serta-merta dan keputusan itu dibuat sebagai merujuk kepada tindakan PKR melanggar beberapa syarat kerjasama politik antara Pas dan PKR yang terjalin sejak sekian lama.
Ketua Pesuruhjaya Pas Selangor Sallehen Mukhyi berkata, mereka akan kekal dalam kerajaan negeri untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan memastikan DAP “tidak membuat kerja jahat” walaupun banyak pihak mendesak parti itu melepaskan jawatan exco.
Hari ini, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin yang dipetik Oriental Daily berkata, parti itu mungkin mencapai “kata sepakat” dengan Umno untuk tidak melawan satu sama lain di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim menyifatkan masalah rakyat lebih penting daripada isu politik seperti itu, tetapi beliau turut mengakui kepentingan muafakat politik dalam menghadapi Umno dan BN.
“Pertimbangan terbaik wajar diambil atas kemaslahatan rakyat, bukan atas kepentingan survival politik dan peribadi semata-mata seperti agenda Umno dan PAS,” katanya.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, parti itu akan membincangkan kedudukan Pas dalam kerajaan negeri pada mesyuarat Biro Politiknya malam ini.
Jawatankuasa Pas Pusat pula dijangka membuat keputusan Khamis ini berhubung kedudukan tiga exconya di Selangor iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger