PM Sementara: Mengapa tidak Mat Sabu?

Selasa, 23 Mei 2017

Oleh Mohd Azhar Abd Rahman 

Dalam pada seluruh pimpinan Pakatan Harapan bersetuju untuk menumpukan kepada usaha menumbangkan Barisan Nasional terlebih dahulu sebelum menamakan mana-mana pemimpin sebagai perdana menteri, namun pada masa sama terdapat pimpinan parti mula mengenengahkan ketua mereka sebagai calon tidak dapat disembunyikan. Ia bolehlah diibaratkan seperti kelip-kelip terbang malam.

Pada sesetengah pihak ia dilihat sebagai sesuatu yang tidak sihat kerana ia menggambarkan seolah-oleh PH terlalu memikirkan soal jawatan dan pangkat daripada memberi tumpuan sepenuhnya terlebih dahulu kepada strategi dan kempen mengalahkan BN dalam PRU ke 14 yang akan datang. Tidak kurang juga yang berpendapat calon PM sebaiknya dikemukakan lebih awal supaya dapat memberi keyakinan kepada rakyat di bawah bahawa kesepakatan PH benar-benar ampuh dan bersedia mengambil alih Putrajaya.

Apa yang pasti, majoriti pimpinan PH bersetuju sekiranya PH berjaya menawan Putrajaya, tanggungawab PM diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau dibebaskan dari hukuman penjara. Malah bekas seterunya, Tun Dr Mahathir juga pernah berkata jika itu yang dimahukan rakyat, siapalah beliau untuk menghalang.

Mengambil kira tempoh masa Anwar dapat dibebaskan untuk melayakkan beliau bertanding sebagai ahli Parlimen seterusnya diberi mandat sebagai PM, masa yang diperlukan untuk ke arah itu kira-kira 2 hingga 3 tahun dan mungkin lebih. Sebelum usaha itu dapat dijayakan, seorang PM interim perlu dilantik supaya urusan kerajaan dan perubahan-perubahan yang diuar-uarkan semasa kempen dapat dilaksanakan.

Sekiranya ini “roadmap” yang dipersetujui, maka PM interim inilah yang menjadi tanda tanya, siapa selayaknya?

Kelihatannya seperti mudah. Lantik, tunggu Anwar keluar dan serah kepada Anwar. Tetapi tidak semudah yang difikirkan. Lihat sahaja roadmap Langkah Kajang. Nampak mudah dan seperti boleh dilaksanakan tetapi setelah separuh jalan, pelbagai pula mehnah dan karenah berlaku. Bukan kerana roadmapnya tetapi keteguhan kepada janjinya.

Sesiapa sahaja boleh meletakkan nama sebagai PM interim ini kerana pada kefahamannya ia hanya bersifat sementara. Tetapi sementara itu bukan bermaksud tak perlu buat apa-apa dan hanya menunggu Anwar. Ada kerja dan tuntutan yang perlu dilaksanakan dan tidak boleh diambil mudah.

Kita tidak mahu Pakatan Harapan yang mendapat kepercayaan rakyat nanti bertukar menjadi “putus harapan”. Dalam Kongres PKR baru-baru ini, malah sebelum ini pun PKR optimis tugas PM sementara hanya layak disandang Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. PPBM pula melalui pengerusinya enggan memberi sebarang bayangan awal dan mengajak semua pihak berusaha mengalahkan BN terlebih dahulu dan melihat parti mana yang memenangi kerusi terbanyak akan diberi mandat tersebut. Maka mereka memilih untuk menangkap gambar daripada mengangkat sepanduk ANWAR PM ke-7 .

Namun ada pihak yang melihat PPBM berminat dengan jawatan tersebut setelah dikatakan berusaha meminta lebih banyak kerusi parlimen untuk ditandingi pada PRU akan datang.

DAP pula dari awal menolak sangkaan pihak tertentu yang mengatakan mereka bakal diangkat sebagai PM atau TPM sekiranya menang PRU-14 nanti. Lim Kit Siang tegas mengatakan tidak mempunyai cita-cita untuk menjadi PM.


Hanya Amanah yang kelihatan tidak mahu dilihat berminat dengan jawatan tersebut dan hanya akan membawa pandangan melalui perbincangan dalaman. Namun sebagai gabungan yang mesra kepada pandangan dan pendapat dari sisi berbeza, saya lontarkan, mengapa tidak Mohamad Sabu?
Tanpa menafikan kemampuan mana-mana calon yang disebut, mari kita lihat merit yang ada pada Haji Mohamad bin Sabu atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu yang kini berusia 63 tahun, 29 tahun lebih muda dari Tun Dr Mahathir.

Beliau tokoh tulen yang setia berada dalam posisi pembangkang sejak dari awal pembabitannya dalam politik. Lebih separuh usianya dihabiskan dalam gerak kerja sebagai ahli politik pembangkang.

Beliau tidak mengambil langkah “mencuci dari dalam” seperti yang dibuat beberapa pimpinan yang akhirnya diri mereka “dicuci” terlebih dahulu. Seandainya beliau mengambil langkah sedemikian, dan setia benar kepada ketuanya, mungkin tempat Zahid Hamidi itu miliknya. Tetapi kerana percaya dan benar-benar berpegang teguh dengan prinsip, itu bukan jalan yang dipilih Mat Sabu.

Beliau berusaha dan komited, untuk melaksanakan perubahan, reformasi, tajdid, islah atau apa sahaja istilah yang disebut ke arah membina semula negara, maka sebuah kerajaan di luar dari pengaruh BN perlu diwujudkan.

Menyedari hakikat itu, beliau menjelajah ke seluruh negara, masuk ke semua ceruk kampung, berceramah dan bersyarah dengan gaya bahasa bersahaja mengajak rakyat berfikir tentang masa depan. Tanyalah kepada beliau, daerah mana yang tidak pernah beliau kunjungi.

Sejak 70-an beliau berpegang kepada prinsip ini dan berjuang sepenuh hati mengajak rakyat bersama beliau ketika itu. Melalui Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), seterusnya bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan kini Parti Amanah Negara (Amanah), beliau tetap meneruskan usahanya mengajak kepada perubahan.

Masuk keluar penjara tidak menjadi masalah baginya malah duduk bersama dengan orang yang memenjarakannya pun bukan penghalang untuk terus berusaha memastikan perubahan berlaku sehinggakan ramai tokoh yang dahulunya penentang beliau kini mengakui apa yang diperjuangkan Mat Sabu adalah benar.

Mat Sabu pencetus kepada budaya berbincang secara ilmiah. Ingatkah anda isu Mat Indera? Atas lontaran beliau tentang Mat Indera, forum-forum dan perbincangan berkaitan sejarah negara menjadi perhatian dan menghidupkan budaya perbincangan ilmiah di universiti malah di kampung. Itulah penangan Mat Sabu.

Meskipun beliau bukan pemegang ijazah kedoktoran (phd), rekod yang merakamkan pemikiran dan usaha juang beliau ada dalam arkib tesis dan disertasi di universiti. Beliau juga mengamati perkembangan politik dunia dan sering ke negara luar untuk memahami dan melihat sendiri isu yang berlaku di negara tersebut. Cuma kehadirannya bukan sebagai pemimpin kerajaan, jadi tiada liputan yang diberikan kepada beliau.

Seperti yang pernah disebut Prof Dr Ridhuan dalam satu majlis penyerahan tesis oleh graduan seliaannya, beliau berkata, pemikiran Mohamad Sabu bukan sahaja terpancar di dalam negara bahkan hingga ke University Frankfurt cuma perjalanan dan pemikiran Mohamad Sabu tidak dirakam dalam bentuk tulisan menyebabkan ia seakan tidak terpandang dan tiada dalam rak di perpustakaan.

Dalam gerakan bersama rakyat, gerakan apa yang tidak disertai Mat Sabu? Hampir kesemua gerakan sivil yang melibatkan isu rakyat didokongi beliau malah ada beberapa gerakan diasaskan beliau. Ini menunjukkan beliau benar-benar menjiwai keluhan rakyat dan mempamerkan sikap yang tegas dalam memperjuangkan isu rakyat. Oleh sebab itu, hampir seluruh rakyat di negara ini baik di kampung mahupun bandar mengenali Mat Sabu malah kebanyakan orang kampung memanggil Amanah sebagai Parti Mat Sabu. Begitulah betapa tingginya jenama Mat Sabu di mata rakyat.

Apa yang lebih penting dalam semua yang dinyatakan di atas adalah ketulenan beliau dalam menggalas tugas sebagai pemimpin pembangkang. Istiqamahnya beliau dalam menjadi penyemak dan pengimbang dasar kerajaan dan terus-terusan memberi tekanan kepada isu korupsi telah teruji dan pengalaman beliau ini merupakan kualiti yang diperlukan sebagai pemimpin utama negara.

Soal prinsip dan keberanian membuat keputusan tidak perlu dipertikai. Beliau keluar dari memegang sebarang jawatan di Pulau Pinang sejurus PAS memutuskan hubungan dengan DAP. Beliau keluar dari PAS, parti yang beliau perjuangkan puluhan tahun dan membina Amanah kerana mempertahankan prinsip “amar makruf nahi mungkar” yang dipegang beliau.

Beliau buang hal peribadi dan perasaan lama untuk meraikan sesiapa sahaja yang mahu bersama dalam perjuangan ini atas dasar prinsip. Maka, andai diberi mandat untuk memimpin negara sehingga Anwar layak diserahkan tugas tersebut, saya yakin beliau tidak akan berdolak-dalih untuk merealisasikan perkara tersebut.

Sehingga kini, ketokohan dan kualiti yang ada pada Mat Sabu sebagai pembawa perubahan perlu diakui. Beliau antara pemimpin teratas yang disenangi oleh semua komponen PH baik Melayu mahupun bukan Melayu. Tidak pernah terlibat atau mencetuskan konflik sesama mereka malah sering mengambil sikap terbuka apabila timbul perselisihan. Di dalam parti yang diketuainya, kedudukannya teguh dan bergerak maju. Inilah nilai kepimpinan yang ada padanya bersama pasukan yang mempunyai latar dan rekod cemerlang.

Sekiranya ditanya siapa pemimpin “Muslim Demokrat” yang ada di Malaysia selain Anwar Ibrahim, mungkin ramai yang tidak sedar bahawa orangnya adalah Mat Sabu.

Cuma Mat Sabu tidak pernah duduk dalam kerajaan, tidak pernah memegang kuasa dan jawatan besar seperti mana Anwar dan orang tidak dapat melihat bekas tangannya dalam hal pentadbiran kecuali pengalamannya menjadi ahli Parlimen selama 3 penggal, Lembaga Pengarah Bekalan Air Pulau Pinang dan Penang International Halal Hub (PIHH).

Namun sekiranya tugas sebagai PM interim diberikan kepadanya, saya yakin beliau tidak hanya akan menunggu, malah beliau akan segera melaksanakan proses perubahan yang dilaungkan seiring dengan aspirasi Anwar dan rakan-rakan.

Maka, sekali lagi saya sarankan dalam isu ini, mengapa tidak Mohamad Sabu yang menjadi pilihan?
Mohd Azhar Abd Rahman adalah Setiausaha Pemuda Amanah.

Mahathir sentiasa benci Anwar?

Oleh MUAMMAR QADDAFI 

Walaupun keduanya bermula sebagai mentor dan mentee, permusuhan terbesar antara dua tokoh politik adalah diantara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, situasi ini bermula sejak pemecatan Anwar oleh Mahathir dari jawatan timbalan perdana menteri Malaysia pada tahun 1998.

Pada era reformasi, sehingga turunnya Mahathir dari kerusi Perdana Menteri, perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah mengesa Mahathir untuk letak jawatan. Itulah fokus serangan parti yang diasaskan selepas pemecatan Anwar pada ketika itu.

PKR percaya bahawa Anwar adalah mangsa fitnah politik kotor Mahathir terhadap Anwar, dalam membawa keadilan kepada Anwar, PKR bersama parti pembangkang lain berjaya mobilise ratusan ribu rakyat Malaysia untuk menekan Mahathir untuk berundur sehingga akhirnya Mahathir menyatakan hasrat beliau untuk berundur pada Jun 2002, setelah dipujuk dan dirayu pemimpin Umno Mahathir kekal sebagai PM selama lebih setahun dan kemudiannya menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2003.

Disebalik segala serangan itu, Mahathir pula sentiasa menegaskan kepercayaan beliau bahawa Anwar bersalah dan sering kali ungkapkan bahawa Anwar adalah manusia yang tidak bermoral, bahkan sehingga 2017 Mahathir tidak pernah menarik balik kenyataan ini bahkan sentiasa membayangkan kepada umum bahawa beliau masih percaya bahawa Anwar adalah insan yang tidak bermoral dan tanpa akhlak.

Permusuhan keduanya bagai tiada titik noktah, namun satu lembaran baru dibuka pada akhir tahun 2016, setelah hampir 19 tahun berseteru dan bermusuhan,Mahathir tampil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menunjukkan sokongan kepada bekas timbalan beliau Anwar, yang memfailkan saman menghalang penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Pun begitu, apabila ditanya soal Anwar diluar kontek saman Anwar tersebut, Mahathir masih mengulangi pandangan buruk beliau terhadap Anwar, dan masih beranggapan Anwar adalah manusia yang tidak bermoral.

Ini menunjukkan, Mahathir masih benci dan anti Anwar, dari dulu hingga sekarang.
Namun, dengan kebencian yang jelas Mahathir terhadap Anwar, cukup menarik apabila semalam di Konvensyen PKR, individu yang bermusuhan dengan Anwar itu, telah menandatangani kempen BEBAS ANWAR yang mendesak pembebasan Dato Seri Anwar Ibrahim dari hukuman penjara yang beliau jalani dari perbicaraan penuh konspirasi Liwat II.

Mahathir telah letak ketepi kebencian beliau terhadap Anwar, dan sanggup hadir pada konvensyen "Parti Anwar", manusia yang waras perlu tanya diri sendiri, mengapa Mahathir bertindak sedemikian?

Mahathir percaya beliau tidak akan mampu menewaskan BN secara bersendirian, beliau yakin hanya melalui kerjasama politik dengan parti parti pembangkang, peluang untuk menumbangkan Umno Barisan Nasional lebih cerah dan mampu dicapai.

Begitu juga Anwar, melihat pula dari sisi pandang beliau, mengapa beliau memilih untuk dipenjara, dan seterusnya memilih untuk "bersekutu" dengan Mahathir walaupun insan itulah yang telah menzalimi beliau, dan sentiasa memburukkan dan mengulangi fitnah terhadap beliau, Anwar tidak berkata tidak kepada Mahathir,tidak pula beliau merendah dan perkecilkan Mahathir bahkan tangan orang yang menzalimi beliau itu, disambut dengan penuh senyuman dan pengharapan.

Dalam kontek ini, Anwar dan Mahathir telah berkongsi aspirasi yang sama, harapan dan matlamat yang sama,iaitu untuk menjatuhkan Barisan Nasional dan Najib yang setiap saat masa berlalu dalam pemerintahannya, bermaksud setiap satu kerosakan dan kebobrokan telah berlaku.

Anwar dan Mahathir, satu masa nanti pastikan akan diterus dikenang, walau apa juga keputusan perjuangan mereka ini, sebagai dua tokoh negarawan yang sanggup berkorban untuk negara.

PRU14: PH tak perlukan Pas untuk menang

OLEH DR ROSLI YAAKOP 

DALAM pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Umno memenangi 88 kerusi parlimen (termasuk 8 kerusi dimenangi UMNO Sabah), tidak cukup 24 kerusi untuk mendapat majoriti mudah.  Bila dicampur dengan kerusi yang dimenangi rakan gabungannya di Semenanjung – MCA (7 kerusi), MIC (4) dan Gerakan (1) - gabungan Umno-MCA-MIC masih kekurangan 12 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Simpanan Tetap

Hanya bila dicampur dengan kerusi yang dimenangi rakan parti gabungannya di Sabah (22/25 termasuk 8 dimenangi Umno Sabah) dan Sarawak (25/31), barulah gabungan pelbagai parti Umno-BN dapat membentuk kerajaan. Itulah sebabnya kerusi di Sabah dan Sarawak itu dipanggil “simpanan tetap” buat Umno yang tanpanya, Umno-BN sudah pun menjadi parti pembangkang pasca PRU13.

Sekaligus ini menunjukkan bahawa politik yang berdaya maju di Malaysia ialah politik bergabung. Hakikatnya, mustahil bagi mana-mana parti secara bersendirian boleh memerintah Malaysia. Inilah hakikat politik dalam negara Malaysia pelbagai etnik ini. Kalau parti gergasi seperti Umno tidak boleh memerintah Malaysia tanpa bergabung dengan parti-parti lain, apatah lagi parti-parti lain.

Menang Tipis

Di Semenanjung Tanah Melayu (jumlah kerusi parlimen 165), Umno-BN menang tipis - 85 kerusi berbanding PR 80 kerusi.

Pengkaji pilihan raya membahagikan parlimen di Semenanjung kepada 81 kerusi luar bandar, 44 separa bandar dan 40 bandar (jumlah 165). Umno-BN memenangi 66 daripada 81 kerusi luar bandar atau  81.5%, 14 kerusi separa bandar (31.8%) dan 5 kerusi bandar (12.5%).  Oleh itu, sangatlah ketara bahawa Umno-BN memang jaguh kampung. Kalau ia kalah di kampung maka kalahlah ia di Semenanjung.

Kerusi FELDA

Dalam kategori parlimen luar bandar, 54 kerusi berada dalam kawasan FELDA, mewakil 67% daripada keseluruhan kerusi luar bandar.

Dalam PRU13, daripada 54 kerusi FELDA ini, 6 telah ditawan oleh Pakatan Rakyat iaitu Kuala Nerus, Dungun dan Temerloh (Pas), Raub dan Kulai (DAP) dan Sungai Siput (PSM). Ini bermakna dari 85 kerusi parliamen  yang dimenangi Umno-BN di Semenanjung, 48 datangnya dari kawasan FELDA. Ini mewakili 56.5% dari keseluruhan kerusi yang dimenangi Umno-BN di Semenanjung. Jelas, FELDA adalah simpanan tetap Umno-BN yang membolehkan ia terus bernafas.

Melihat kepada keputusan PRU13, Umno-BN memiliki 110 kerusi simpanan tetap – 54 FELDA, 31 Sarawak dan 25 Sabah. Daripada 110 kerusi ini,  95 kerusi kekal di tangan Umno-BN sementara 15 kerusi lagi telah disambar pembangkang. Umno-BN hilang 6 kerusi FELDA, 6 kerusi Sarawak dan 3 kerusi Sabah.

Memandang ke hadapan, ini bermakna selama mana kerusi simpanan tetap ini dapat dipertahankan maka selama itulah Umno-BN akan memerintah.  Oleh itu, tidak sukar untuk menjangkakan bahawa kubu simpanan tetap inilah yang dengan cara apa sekalipun akan dipertahankan oleh Umno-BN sehingga titisan darah terakhir.  Ini adalah medan jihad bagi Umno-BN.

Bila ini hakikatnya, maka tidak juga sukar untuk menjangkakan bahawa dua musuh Umno-BN dalam PRU14 nanti – gabungan pelbagai parti Pakatan Harapan (PH) dan Gagasan Sejahtera (khabarnya terdiri daripada Pas, Ikatan, Parti Cinta Malaysia dan Berjasa) - akan melancarkan serangan tubi ke atas kubu simpanan tetap ini. Sebabnya, di saat kubu ini dapat ditawan, di saat itulah Umno-BN akan kecundang. 

Persoalannya, mampukah kedua-dua musuh Umno-BN ini, dengan melancarkan serangan secara berasingan, menembusi kubu ini? Sukar untuk dijawab tetapi yang jelas ialah jika PH dan GS melancarkan serangan sebagai satu pasukan, kebarangkalian untuk menang memang cukup tinggi.

Kafir Harbi

Apabila kawasan pilihan raya di Semenanjung dilapah mengikut etnik, maka dari 165 kerusi parlimen, 114 kerusi adalah majoriti Melayu (lebih 50% pengundinya Melayu), 22 kerusi majoriti Cina (lebih 50% pengundinya Cina) dan 29 kerusi campuran (tiada mana-mana etnik yang membentuk pengundi majoriti).  Ini bermakna di Semenanjung, kerusi majoriti Melayu menguasai (69%). Kerusi majoriti Cina hanya mewakili 13% dari keseluruhan kerusi parlimen di Semenanjung dan yang selebihnya iaitu 18% adalah kerusi campuran.

Dalam PRU13, daripada 114 kerusi majoriti Melayu, 110 dimenangi oleh parti dominan Melayu – Umno (73), Pas (20) dan PKR (17).  Empat (4) kerusi lagi dimenangi oleh MCA, parti komponen dalam Umno-BN. Umno yang menjadi tonggak BN, telah bermurah hati memberikan beberapa kerusi majoriti Melayu kepada MCA untuk bertanding.

Kesemua kerusi majoriti Cina di Semenanjung dimenangi DAP (22 kerusi).  Kebarangkaliannya cukup tinggi untuk DAP mengekalkan kemenangan total ini dalam PRU14 nanti memandangkan parti-parti Cina yang lain masih lemah. Juga, sentimen anti-Cina yang kini menjadi mantera harian Umno dan Pas mendorong orang Cina membina kekuatan menyebabkan Cina semakin bersatu padu di bawah DAP bukan MCA atau Gerakan
.
Oleh itu dalam PRU14 ini, majoriti pengundi Cina bukan sahaja tidak akan mengundi calon Umno dan Pas bahkan calon MCA dan Gerakan. Laungan "Cina kafir harbi" dan "Hey, Cina balik Tongsanlah" terus menjarakkan orang Cina dari Umno dan Pas dan sebagai padahnya, MCA dan Gerakan terpalit sekali.

PH juga ada Simpanan Tetap

Daripada 29 kerusi campuran, 10 dimenangi PKR, diikuti DAP (9), MCA (3), MIC (4), Gerakan (1), PSM (1) dan Pas (1). Ternyata, PR mendapat sokongan kuat di parlimen campuran ini, memenangi 21 daripada 29 kerusi atau 72%. Kebarangkaliannya cukup tinggi bahawa dalam PRU14 nanti kesemua kerusi ini boleh ditawan oleh PH terutamanya jika trend pengundi bukan Melayu menyokong PH berterusan seperti mana yang berlaku dalam PRU13 dahulu. Malahan jika sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru di kerusi ini peluang calon PH menang lebih cerah berbanding calon Umno-BN apatah lagi calon Pas.

Jadi hakikatnya, PH pun ada “simpanan tetap” – kerusi majoriti Cina dan kerusi campuran berjumlah 51 kerusi (22 + 29) – hampir sama bilangannya dengan simpanan tetap Umno di kawasan FELDA.

Dalam PRU13, Sabah dan Sarawak penyelamat Umno. Merekalah sesungguhnya 'king maker'.

Manfaatnya, cukup banyak pos-pos kabinet yang ahli-ahli parlimen Sabah dan Sarawak perolehi.

Itu dalam PRU13. Memandang ke hadapan dalam PRU14 nanti, Sabah dan Sarawak – khasnya Sabah – sudah tidak boleh lagi dianggap sebagai simpanan tetap BN. Penyingkiran Shafie Afdhal dari Umno dan pembentukan parti Warisan yang beliau ketuanya dan semakin meningginya sentimen anti-Semenanjung di Sabah dan laungan “Sabah untuk Orang Sabah” menyebabkan status Sabah sebagai simpanan tetap BN sudah pecah berderai. Ketidakmahuan orang Sabah terhadap kehadiran parti dari Semenanjung di negeri mereka menyebabkan kelahiran parti Warisan amat dialu-alukan.

Kesimpulannya, dengan menguasai kerusi campuran dan kerusi majoriti Cina dan dengan memecahkan monopoli Umno di kawasan FELDA, kebarangkalian PH merampas Semenanjung Tanah Melayu dari Umno-BN dalam PRU14 cukup tinggi.

Untuk mencapai hasrat ini, PH mesti menyerang kubu FELDA dengan penuh berstrategi dan aset peperangan yang lengkap.  Dengan harapan kememenangan besar parti Warisan di Sabah, PH bakal berarak ke Putrajaya. Sarawak akan ikut serta.

Dalam senario ini, PH sebenarnya tidak memerlukan Pas untuk bersama pakatan pembangkang. Bahkan lebih molek seandainya Pas dan Umno-BN cepat-cepat bersatu.

Pemimpin PKR: Dr M ketepi ego demi negara

Isnin, 22 Mei 2017

SHAH ALAM: Seorang pemimpin PKR berkata Tun Dr Mahathir Mohamad mengenepikan ego manakala yang lain berkata beliau sudah menguburkan masa lalu apabila bersalaman dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lepas dan menandatangani petisyen membebaskan bekas musuhnya itu.
Naib Presiden PKR Tian Chua berkata Dr Mahathir dan Anwar berkata mereka menunjukkan sikap kenegaraan dengan bergerak ke depan seiring perubahan masa.
“Mereka bersatu untuk perjuangan yang sama iaitu menyelamatkan negara.
“Gabungan ini langkah positif untuk negara,” katanya ketika ditanya mengenai Dr Mahathir hari ini menandatangani petisyen membebaskan Anwar dari penjara.
Dr Mahathir menandatangani petisyen itu di Kongres Nasional PKR Ke-12 hari ini.
Tian Chua berkata Dr Mahathir bukan penyebab Anwar dipenjarakan buat kali kedua, untuk kesalahan liwat. Anwar dipenjarakan sejak 2015.
Di bawah pentadbiran Dr Mahathir, Anwar dikenakan penjara 6 tahun kerana rasuah pada 14 April 1999, dan 9 tahun kerana liwat pada 8 Ogos 2000.
Naib Presiden Shamsul Iskandar Md Akin berkata Dr Mahathir mengenepikan ego semasa menandatangani petisyen itu.
“Kita perlu belajar dari beliau. Itu contoh yang perlu diikuti pemimpin politik lain.”
Shamsul berkata langkah Dr Mahathir menunjukkan beliau mahu Anwar dibebaskan dan naratifnya sudah berubah sejak mereka bersalaman tahun lepas.
“Dr Mahathir konsisten sejak penampilan pertama beliau di mahkamah (untuk menyatakan sokongan kepada Anwar).”
Sementara itu, Ahli Parlimen Subang R Sivarasa berkata kedua-dua “gergasi” itu faham mereka perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah yang melanda negara.
“Beliau menerima dari segi politik bahawa pembebasan Anwar sebahagian daripada apa yang Malaysia perlukan,” katanya.
Sivarasa bersetuju Dr Mahathir tidak bertanggungjawab memasukkan Anwar dalam penjara buat kali kedua.
“Dr Mahathir jelas sedar (Perdana Menteri) Najib (Razak) perlu disingkirkan dan Umno perlu ditewaskan.
“Beliau melihat Umno sebagai penyakit yang merosakkan negara.”

PRK Pujut: PAS Sarawak mahu bertanding walau hilang deposit

PETALING JAYA: PAS Sarawak sedia bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut, meskipun tewas teruk dalam pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu, kata pesuruhjayanya.
Bagaimanapun, Jofri Jaraiee berkata, terpulang kepada pucuk pimpinan PAS Pusat menentukan sama ada parti itu akan menurunkan calon pada PRK DUN Pujut.
“Kita akan bincang dengan PAS Pusat dan kita tunggu keputusan PAS Pusat sama ada akan bertanding atau tidak. Kemungkinan dalam minggu ini kita akan bermesyuarat.
“Kita di kawasan ini sudah bersedia kalau diminta bertanding,” katanya kepada FMT hari ini.
Jumaat lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK DUN Pujut akan diadakan pada 4 Julai selepas Hari Raya Aidilfitri, bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan wakil rakyat DAP, Dr Ting Tiong Choon.
Pada 12 Mei lalu, DUN Sarawak melucutkan kelayakan Dr Ting sebagai adun Pujut selepas usul Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang negeri, Datuk Woon Soon Koh yang juga adun Bawang Assan mendedahkan Dr Ting mempunyai 2 kewarganegaraan, iaitu Malaysia dan Australia.
Ditanya adakah PAS sedia kehilangan deposit di Pujut, Jofri berkata, pihaknya tidak memikirkan soal kalah kerana mereka nampak peluang menang di PRK itu.
“Orang nak kata PAS akan hilang deposit, kita tidak kisah sebab kita lihat peluang terbuka, kita lihat sokongan rakyat kepada PAS di Sarawak makin hari makin meningkat.
“Bagi saya, dulu BN pernah menjadi wakil rakyat, lepas itu DAP. Jadi, rakyat akan menilai dan kita harap selepas ini rakyat bagi peluang kepada PAS mewakili DUN Pujut,” katanya.
Pada PRN ke-11 lalu, Dr Ting memenangi kerusi Pujut dengan 8,899 undi, menewaskan calon BN, Hii King Chiong yang mendapat 7,140 undi, calon PAS, Jofri (513 undi) dan calon Bebas, Fong Pau Teck (375 undi).

Elak bawa budaya Umno dalam Pakatan Harapan Kedah

Budaya yang sering dibawa oleh Umno tidak harus dipupuk dan disemai dalam komponen Pakatan Harapan khususnya di negeri Kedah, kata  pemimpin Pakatan Harapan di negeri itu.
Pengerusi DAP Kedah Tan Kok Yew. berkata, bentuk kepimpinan dan urus tadbir Umno yang terbukti banyak kepincangan tidak harus menjadi budaya untuk diamalkan.
"Apa jua hasrat maupun pandangan tidak harus dikeluarkan secara terbuka.
"Majlis Pimpinan Pakatan Harapan di Kedah telah pun melantik Pengerusi Amanah Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh sebagai pengerusi.
"Oleh kerana itu mana-mana komponen dalam Pakatan Harapan mestilah mengadakan perbincangan mengenai apa jua isu yang melibatkan pilihan raya dan bukannya membuat kenyataan terbuka, " tegasnya lagi.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Derga turut berkata, tidak harus ada cara pengurusan Umno yang ingin menjadi dominan dalam komponen mereka.
Malah katanya Pakatan Harapan ingin melaksanakan reformasi dan perubahan untuk membela nasib rakyat yang terbukti ditekan melalui pelbagai polisi pemerintah.
Sementara itu Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh pula berkata semua parti komponen dalam Pakatan Harapan di Kedah adalah sama besar dan tiada perbezaaan.
"Tiada mana-mana parti yang dominan atau mengetuai mana-mana komponen Pakatan Harapan di Negeri Kedah.
"Tidak ada mana-mana parti yang menjadi abang untuk mengarahkan adiknya dalam Pakatan Harapan.
"Kita mempunyai Jawatankuasa Pembahagian Kerusi dan jawatankuasa inilah yang akan duduk berbincang mengenai parti mana yang mempunyai potensi untuk menang mana-mana kerusi yang akan ditandingi, " ujarnya lagi.
Jelasnya lagi, mungkin ada parti yang akan menang kurang atau pun lebih kerusi semasa pilihan raya diadakan nanti.
Namun begitu tambahnya, perbincangan akan terus diadakan selepas keputusan diperolehi kerana ia merupakan amalan dalam Pakatan Harapan untuk membawa perubahan dalam memperjuangkan nasib rakyat.
"Oleh kerana itu, semua komponen harus senantiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana budaya Umno harus dibuang jauh dari diamalkan dalam Pakatan Harapan.
"Apa jua keputusan harus diputuskan oleh Majlis Pimpinan Pakatan Harapan yang telah diberi mandat dan bukannya dengan membuat apa jua kenyataan terbuka oleh mana-mana komponen.
"Seandainya ia dipersetujui di peringkat nasional, barulah ia disalurkan ke peringkat negeri pula untuk pelaksanaan, " katanya.
PERINGATAN

Pas Selangor langgar prinsip konvensyen politik dan raja berpelembagaan

Jumaat, 19 Mei 2017

Penganalisis politik  Dr Mazlan Ali berpandangan keputusan Pas untuk menunggu tindakan Menteri Besar dan perkenan Sultan Selangor bagi menentukan kedudukan tiga exco parti itu dakwanya bertentangan dari segi prinsip, konvensyen politik berperwakilan dan raja berperlembagaan.
Pensyarah Kanan dari Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, Pas sudahpun memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR, bermaksud Pas bukan lagi rakan dalam gabungan majoriti Pakatan Harapan (PKR,DAP, Amanah) dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor.
"Dari segi konsep kebertanggungjawaban Exco Pas kini menjadi sukar dipraktikkan.
"Bagaimana mungkin exco Pas mahu mempertahankan atau dipertahankan oleh rakan-rakan Exconya  dari PKR, DAP dan Amanah sekiranya berlaku 'celaan' di Dun, sedangkan Pas bukan lagi sebahagian dari komponen majoriti yang membentuk kerajaan dan penyokong di Dun Selangor.
"Tindakan Pas memutuskan tahaluf siyasi bermaksud Pas tiada lagi kepercayaan terhadap rakan tahalufnya, justeru segala bentuk kerjasama termasuk lantikan-lantikan politik harus dihentikan," terangnya kepada Malaysia Dateline.
Semalam Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiga Exco Pas dalam Kerajaan Selangor akan terus kekal dalam pentadbiran selagi Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tiada sebarang cadangan dan diperkenan Sultan Selangor.
Tiga Exco Pas di Selangor ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar; Datuk Dr Ahmad Yunus (Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi)  dan; Zaidy Abdul Talib (Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).
Isu Pas - PKR di Kelantan
Mengulas kedudukan PKR di Kelantan pula, Dr Mazlan juga berkata, tindakan PKR adalah wajar apabila membuat keputusan bagi semua lantikan politik membabitkan 39 ahli PKR dilantik sebagai ahli Majlis Daerah, 14 Penghulu Tanpa Mukim, Penyelia Parlimen dan Dun 6 orang, Pegawai Pejabat Tanah dan Galian 6 orang dan  10 lagi berada dalam syarikat milik kerajaan melepaskan jawatan berkuatkuasa serta merta.
"Tindakan pucuk pimpinan PKR di Kelantan menunjukkan pemahaman ahli-ahli politik PKR terhadap konvensyen (tahaluf siasi) politik, setelah Pas memutuskan hubungan politik dengan partinya," ujarnya.
Bagaimanapun Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hasan semalam pula berkata,Pas Kelantan tidak akan memecat ahli PKR lantikan Politik Kelantan walaupun mendapat arahan dari pucuk pimpinan parti itu dan undang-undang tubuh negeri pula membolehkan mana-mana yang dilantik bebas meletakkan jawatan.
Dengan ketetapan Pas Kelantan itu Mazlan tidak menolak pandangan yang pernah dilontarkan oleh parti gabungan Pakatan Harapan, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin di Alor Setar pada Rabu, jika Pas-Umno bekerjasama situasi itu akan memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan.
"Di Kelantan, jika berlaku pertandingan tiga penjuru, Pas sukar mempertahankan kerajaan sedia ada kerana Pakatan Harapan akan menjadi saingan yang kuat terhadap Pas-BN.
"Tidak mustahil kerjasama Pas-Umno itu akan berlaku di Kelantan setelah putusnya tahaluf siyasi Pas dengan PKR.
"Jika Pas bekerjasama dengan Umno untuk mewujudkan pertandingan dua penjuru, kemungkinan Pas boleh pertahankan negeri Kelantan.
"Ini bagi mengelakkan undi pembangkang akan berpecah kerana BN mempunyai kelebihan untuk memenangi kerusi yang lebih banyak.
"Jika itu tidak berlaku (kerjasama Pas-Umno), Pakatan Harapan mampu menggugat dan mungkin berjaya memenangi beberapa kerusi di negeri Kelantan," ujarnya.
Dr Mazlan melihat  gabungan parti dalam Pakatan Harapan akan membentuk satu barisan pembangkang yang berpotensi menjadi saingan kuat kepada Pas dan BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Selepas insiden melempang, Mat Over makin popular


Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu... Peribahasa Melayu ini sesuai untuk menggambarkan 'tuah' yang diperolehi Mat Over atau Sulaiman Yassin.
Setelah menjadi popular kerana menampar Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth Picture (MIG) Datuk David Teo ketika sesi Dialog Tranformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Perdana Menteri di Putrajaya malam kelmarin, Mat Over kini menjadi selebriti hangat terutama bagi para penyokong BN.
Pelawak dan pelakon asal Terengganu ini dijemput ke majlis bual bicara 'Santai Bersama Mat Over' sempena sambutan Hari Belia Negara.
Program yang dijadual berlangsung pada 20 Mei jam 2 petang itu diadakan di Padang Bola Sepak Kuala Menjing, Hulu Terengganu.
Ia dianjurkan Majlis Belia Terengganu.
Dalam insiden malam kelmarin, David Teo ditampar Sulaiman ketika sesi Dialog Tranformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Najib yang dihadiri ratusan artis.
Teoh tidak berpuas hati kerana pemudahcara majlis Datuk Rosyam Nor didakwa tidak bersikap adil kerana hanya memberi peluang kepada hadirin yang duduk di sudut tertentu untuk berdialog.
Beliau enggan berhenti bercakap walaupun diarahkan Rosyam hingga Sulaiman tiba-tiba meluru ke arahnya dan menampar pengarah filem tersebut.
Mereka kemudian dileraikan anggota polis dan hadirin.
Najib kemudian mengarahkan David dan Teoh bersalaman namun pertelingkahan antara kedua mereka berlanjutan di media.

Hannah Yeoh, di Malaysia jadi Melayu Muslim pun susah

Bukan sahaja sukar untuk menjadi kaum lain di Malaysia, menjadi Melayu pun susah apatah lagi jika bangsa dan kaum diadun dengan isu agama dan kepercayaan, kata Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
Malah ahli parlimen Parit Buntar itu menambah, berkarya dan berkongsi pengalaman ketuhanan dalam kehidupan seseorang pun adalah satu jenayah di Malaysia.
Dr Mujahid mengulas isu membabitkan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor Hannah Yeoh yang secara tiba-tiba dijadikan sasaran sesetengah pihak ekoran dituduh cuba menyebarkan ajaran Kristian menerusi buku kisah perjalanan hidup beliau "Becoming Hannah".
"Kalau buku "Becoming Hannah" dikatakan menyebar agama Kristian dan cubaan memurtadkan orang Islam, saya orang Melayu dan Muslim jujurnya dalam keadaan dilema.
"Ia membawa mesej membimbangkan kerana bangsa saya dan agama saya dipertontonkan sebagai lemah hanya dengan satu karya dari penulis bernama Hannah Yeoh.
"Saya kata sukar menjadi Melayu dan Islam di Malaysia kerana saya terperangkap antara bersikap objektif dan emosional. Terperangkap dalam dilema inilah menyebabkan rakyat kita kurang peduli kepada isu negara yang lebih besar," katanya.
Menurut Dr Mujahid, keadaan ini mengakibatkan setiap kaum dan agama di negara ini berada di balik tembok kubu masing-masing dan mereka yang cuba keluar dari belenggu kubu masing-masing, khususnya kubu Melayu, dikategorikan sebagai 'musuh' dengan label 'liberal', 'murtad' dan 'munafik'.
Beliau menambah, semua insiden negatif di Malaysia dikaitkan dengan agama atau bangsa, walhal secara objektifnya insiden itu datang dari sikap individu dan bukan mewakili bangsa atau agamanya.
"Saya lebih terperangkap dalam 'dunia tembok' ini apabila kebencian kaum dan agama diinstitusikan melalui sikap parti politik tertentu dan pihak kerajaan sendiri seolah mendapat 'barakah' restu nuansa-nuansa keji ini," jelas beliau.
Dr Mujahid memberi contoh isu perundangan RUU 355 yang menimbulkan kebencian terancang sesama umat Islam dan umat beragama lain hanya kerana namanya Islam dan distrukturkan begitu rupa dengan kerjasama pemerintah.
"Logik dunia hari ini mudah, ia berputar di paksi bekalan dan permintaan. Semua pihak yang berkepentingan ambil kesempatan membekalkan permintaan ini kerana hasilnya lumayan.
"Para penunggang agama, para penyebar kebencian dan parti politik yang terdesak adalah benifisarinya. Sekali lagi saya terperangkap.
"Tembok kubu dikawal oleh bomoh-bomoh handal dan pendeta-pendeta yang kerjanya 'menjampi serapah' mangsa 'sihir' dan para pendeta yang siang malam berkhutbah dan menghukum mereka yang mahukan bebas dari kubu-kubu ini. Terimakasih kepada teknologi media sosial," ujarnya sinis.
Sehubungan itu beliau berkata, Malaysia memerlukan kubu dan tembok kukuh kemanusiaan dan kebebasan yang tidak mengenal agama dan bangsa.
"Kubu ini menyelamatkan juga kaum lain dan agama lain kerana kita semua adalah manusia.
"Hanya satu sahaja matlamat mereka iaitu mengawal musuh durjana yang mengancam kemanusiaan daripada para penunggang kaum dan agama. Awas musuh-musuh ini yang berselindung di sebalik wajah agama dan bangsa," tambah beliau.
Dr Mujahid turut memetik mafhum Alquran: "Tidak Aku utuskan dikau (wahai Muhammad) melainkan untuk membawa rahmat bagi sekelian alam."

Dana SRC bayar pengamal media,`cyber trooper' urus kempen BN-Najib?

Khamis, 18 Mei 2017

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa lebih RM2.6juta telah digunakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak daripada dana SRC International Sdn.Bhd untuk membayar pengamal media dan kempen media sosial.
Menerusi blongnya, Rafizi dipetik berkata, tiga penerima dana SRC itu adalah pengamal media atau syarikat yang bertanggungjawab menguruskan kempen media sosial atau kempen media Umno/Barisan Nasional, atau pun kempen Najib sendiri.
"Kita mahu tahu berapa banyak wang dan peruntukan yang telah digunakan oleh Datuk Seri Najib, baik dari akaun beliau sendiri atau dari peruntukan kerajaan untuk membayar cyber trooper upahan atau syarikat-syarikat yang menggaji cyber trooper upahan, dengan menggunakan wang rakyat?," soalnya.
Rafizi menyebut tiga syarikat itu adalah sebuah firma bernama Warisan Researh Ltd.
"Pada 22 Julai 2014, maklumat dari dokumen yang dibocorkan menunjukkan Datuk Seri Najib membayar dari akaun peribadinya sejumlah RM1juta kepada satu firma bernama Warisan Research PLT
"Pada 19 Ogos 2014, maklumat dari dokumen yang dibocorkan menunjukkan Dato’ Seri Najib membayar dari akaun peribadinya sejumlah RM655,000 kepada seorang rakyat Singapura bernama Romen Bose yang juga merupakan wakil media antarabangsa di negara ini
"Pada 27 Ogos 2014, maklumat dari dokumen yang dibocorkan menunjukkan Datuk  Seri Najib membayar dari akaun peribadinya sejumlah RM2 juta kepada satu firma bernama Orb Solutions Sdn Bhd," ujarnya.
Rafizi percaya individu-individu yang dinamakan itu tidak akan menafikan pendedahan-pendedahan dilakukannya atau akan mengemukakan bukti bahawa pendedahan ini tidak benar.
"Yang saya paling tertarik ialah bagaimana Datuk Seri Najib membayar firma-firma dan pengamal media untuk menulis dan memantau kandungan media sosial.
"Ini bukanlah mengejutkan kerana rakyat Malaysia telah menerima kewujudan “cyber trooper” Umno yang banyak mewujudkan akaun-akaun palsu (termasuklah menggunakan identiti orang yang sudah mati) untuk membodek Datuk Seri Najib dan menyerang pembangkang.
"Fenomena media sosial seperti #supportMyPM yang banyak ada di laman Datuk Seri Najib sendiri mengesahkan kewujudan tentera maya palsu ini," ujarnya.

Arah lantikan politik letak jawatan satu sindiran kepada Pas

Tindakan PKR mengarahkan lantikan politik parti itu di Kelantan melepaskan jawatan diibaratkan sebagai sindiran supaya Pas turut mengambil langkah sama di Selangor.
Tetapi bagi anggota Majlis Profesor Negara, ia satu yang tidak masuk akal dan lemah.
Keputusan PKR itu dilihat pemerhati politik hanya untuk memalukan dan menjatuhkan maruah Pas, selain desakan 'halus' untuk tiga Exco Pas di Selangor melepaskan jawatan selepas kerjasama politik antara dua parti berkenaan terbatal.
Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Halim Sidek, keputusan PKR itu juga boleh diibaratkan satu usaha untuk menggambarkan parti mereka lebih berkuasa berbanding Pas.
Beliau berkata, keadaan politik di dua negeri berbeza kerana arahan supaya lantikan politik melepaskan jawatan di Kelantan tidak akan mengubah struktur politik negeri berkenaan.
"Jika tindakan PKR itu bertujuan menyindir Pas ia adalah sindiran tidak masuk akal dan sangat lemah. "Kalau PKR menganggap mereka parti lebih kuat dan lebih berani dalam mencatur politik, mereka seharusnya mengadap Sultan Selangor memohon perkenan untuk memecat tiga Exco Pas di negeri itu, " katanya dalam kenyataan semalam.
Abdul Halim berkata, PKR tidak boleh mendabik dada dengan kedudukan kerusi Pakatan Harapan di Selangor yang menggabungkan parti itu dengan DAP dan Parti Amanah Negara.
Katanya, ini kerana dua kerusi Parti Amanah Negara yang juga parti serpihan Pas dimenangi atas tiket PAS yang berkemungkinan akan mudah diambil oleh calon Pas dan Barisan Nasional (BN).
"Dengan mengambil kira Parti Amanah Negara yang tidak mempunyai asas politik kukuh di Selangor selain kembalinya kekuatan BN di negeri itu, dijangkakan Pakatan Harapan Selangor berdepan saingan sengit pada Pilihan Raya Umum Ke-14," katanya.

SPR jangan jadi 'macai' BN, kata Abdul Rashid

Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman memberi amaran kepada Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah agar tidak menjadikan suruhanjaya sebagai 'macai' Barisan Nasional (BN).
Abdul Rashid yang kini merupakan salah seorang Naib Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) berkata demikian dalam kenyataan bersama dengan Ahli Biro Politik PKR R Sivarasa, Ketua Penerangan Parti Amanah Negara Khalid Abdul Samad dan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok.
"Kita sedar tekanan yang sedang dihadapi SPR dari parti pemerintah untuk memastikan BN kembali berkuasa pada pilihan raya umum ke-14.
"Tetapi SPR, sebagai badan yang bertanggungjawab untuk proses pilihan raya yang demokratik harus dan tidak boleh menjadi 'macai' BN dengan melanggar Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan suruhanjaya itu mendapat kepercayaan orang ramai," kata mereka seperti dilapor Malaysiakini.
Bekas pengerusi SPR dan tiga ahli parlimen itu turut mengkritik Mohd Hashim kerana memperlekehkan pembangkang.
"Semua komunikasi bertulis kami kepadanya diabaikan.
"Jelas sekali, beliau menjadi pengerusi pilihan raya paling tidak profesional dalam sejarah SPR dan secara tidak langsung mempersendakan kedudukan SPR sebagai sebuah suruhanjaya bebas dan adil kepada agensi yang semata-mata yang patuh kepada arahan perdana menteri," tambahnya.

Lepas jawatan politik: Pas harus faham isyarat PKR

Rabu, 17 Mei 2017

Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan keputusan PKR mengarahkan semua lantikan politik parti itu dalam Kerajaan Negeri Kelantan melepaskan jawatan sebagai sikap bermaruah dan berintegriti.
Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, sikap itu wajar dicontohi oleh mana-mana parti politik apabila memutuskan kerjasama politik dengan parti lain.
"Amanah sangat menghormati keputusan yang dibuat oleh mesyuarat Biro Politik PKR. Saya yakin segala keputusan yang dibuat mengambil kira pandangan ahli mesyuarat selepas Pas megambil sikap memutuskan tahaluf (siyasi) dengan PKR.
"Kenyataan yang dikeluarkan (Datuk Seri) wan Azizah (Wan Ismail) mengarahkan Ahli Majlis Kelantan meletakkan jawatan adalah sikap yang bermaruah dan berintegriti.
"Apabila sesebuah parti membuat keputusan untuk memutuskan hubungan, PKR mengambil sikap berintegriti," katanya dalam sidang media di Wisma Amanah Negara hari ini.
Mesyuarat Biro Politik PKR malam tadi membuat keputusan bahawa semua lantikan politik parti itu dalam Kerajaan Negeri Kelantan diminta melepaskan jawatan-jawatan tersebut berkuatkuasa serta merta.
Sehubungan itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir hari ini berkata, PKR Kelantan akur dengan keputusan itu dan akan melaksanakan semua keputusan itu.
Mengulas mengenai kedudukan exco Pas di Selangor pula, Salahuddin berkata parti itu seharusnya faham terhadap isyarat yang diberikan oleh PKR dan mengambil keputusan sama di negeri itu.
"Sebagai orang politik yang berintegriti saya rasa isyarat (PKR) malam tadi memberi gambaran yang jelas kepada Pas untuk membuat tindakan yang sama di Selangor," katanya.
Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail malam tadi berkata, kedudukan Pas dalam Kerajaan Negeri Selangor akan diputuskan pimpinan PKR selepas Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR kembali daripada lawatan kerja di luar negara.
"Kedudukan Pas dalam Kerajaan Negeri Selangor telah dibincangkan pada malam ini dan akan diputuskan pimpinan PKR bersama Datuk Menteri Besar Selangor sekembalinya beliau dari lawatan rasmi ke luar negara," katanya.
Pada 11 Mei lalu, Majlis Syura Ulamak Pas sebulat suara menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR serta merta kerana parti itu dikatakan melanggar beberapa syarat kerjasama politik yang terjalin sekian lama.
Sejak perkara itu diputuskan, Azmin belum memberi sebarang kenyataan tentang nasib tiga Exco Pas yang berada dalam barisan Kabinet Negeri Selangor.
Isnin lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata beliau telah bertemu dengan tiga exco berkenaan dan sehingga ini parti itu tidak dimaklumkan terdapat sebarang arahan supaya mereka meletak jawatan oleh Azmin.

Kami akan tarik diri dari jawatan politik, kata PKR Kelantan

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan menerima dengan hati terbuka keputusan jawatankuasa pusat parti supaya ahli PKR yang memegang jawatan lantikan politik di negeri itu melepaskan jawatan masing-masing.
 
Pengerusi PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir berkata sebagai ahli parti, semua keputusan parti akan dilaksanakan.
 
"Kita akur dan akan segara laksanakan," katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline pagi ini.
 
Menurutnya sejak awal kita bersama dalam pentadbiran negeri atas asas keputusan dan pilihan parti.
 
"Semua kita berkhidmat bukan atas pilihan peribadi jadi tiada sebab bila parti kita buat keputusan kita buat pilihan lain," katanya.
 
Mengulas keputusan Pas membuat keputusan membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR beliau menghormati keputusan parti itu.
 
"Itu keputusan mereka sebelah pihak.
 
"Tiada perundingan apa dengan pihak kita jadi tiada apa-apa yang kami perlu buat buat ulasan," katanya.
 
Mengenai kaedah peletakan jawatan oleh ahli-ahli PKR Kelantan beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan pihak pimpinan parti. 
 
"Berita ini saya baru dapat melalui media dan insya Allah saya akan bincang secara langsung dengan pimpinan bagu tujuan perlaksanaan," katanya.

PKR arah semua lantikan politik di Kelantan letak jawatan serta merta

PKR membuat keputusan supaya semua lantikan politik parti itu dalam Kerajaan Negeri Kelantan dilepaskan berkuatkuasa serta merta.
Presidennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Azizah berkata, perkara itu telah disampaikan kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan.
"PKR juga telah membuat keputusan bahawa semua lantikan politik PKR dalam Kerajaan Negeri Kelantan diminta melepaskan jawatan-jawatan tersebut berkuatkuasa serta merta.
"Perkara ini telah disampaikan kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan," katanya selepas menghadiri mesyuarat Biro Politik PKR di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya malam tadi.
Sementara itu, beliau memaklumkan, kedudukan Pas dalam Kerajaan Negeri Selangor akan diputuskan pimpinan PKR selepas Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR kembali daripada lawatan kerja di luar negara.
"Kedudukan Pas dalam Kerajaan Negeri Selangor telah dibincangkan pada malam ini dan akan diputuskan pimpinan PKR bersama Datuk Menteri Besar Selangor sekembalinya beliau dari lawatan rasmi ke luar negara," katanya.
Pada 11 Mei lalu, Majlis Syura Ulamak Pas sebulat suara menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR serta merta kerana parti itu dikatakan melanggar beberapa syarat kerjasama politik yang terjalin sekian lama.
Sejak perkara itu diputuskan, Azmin belum memberi sebarang kenyataan tentang nasib tiga Exco Pas yang berada dalam barisan Kabinet Negeri Selangor.
Isnin lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata beliau telah bertemu dengan tiga exco berkenaan dan sehingga ini parti itu tidak dimaklumkan terdapat sebarang arahan supaya mereka meletak jawatan oleh Azmin.
Selain itu, Wan Azizah berkata, meskipun PKR menerima keputusan Pas membatalkan kerjasama politik tetapi PKR menolak alasan-alasan yang diberikan Pas.
"PKR menerima keputusan Pas yang telah membuat ketetapan muktamad untuk membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR tetapi PKR menolak alasan-alasan yang telah mereka berikan.
"Ini walaupun PKR telah berusaha untuk menjaga dan melunakkan hubungan di antara kedua-dua parti," katanya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.
Justeru, katanya, PKR akan segera mengatur langkah bersama Pakatan Harapan dan sekutu lainnya yang mendukung agenda reformasi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

'Pas putus dengan PKR, berbaik pula dengan Umno'

Selasa, 16 Mei 2017

PKR mempersoal sikap aneh Pas yang masih ingin mengekalkan exconya dalam Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Menteri Besar datuk Seri Azmin Ali selepas menamatkan hubungan kerjasama dengan parti itu.
Ketua penerangannya Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Pas sebaliknya semakin mesra dan dikatakan akan menjalinkan 'tahaluf siyasi' dengan Umno.
“Bukankah kerajaan negeri dipimpin menteri besar dan exco yang mana tahaluf (siyasi) dan rundingan politik dengan parti mereka telah terbatal menurut Pas?”
“Datuk Seri Najib Razak dengan bangga turut mengumumkan pembatalan ‘tahaluf siyasi’ antara Pas dan PKR dalam ucapannya (ketika sambutan ulang tahun Umno ke-71, Khamis lalu). Saya juga terbaca ada yang mendakwa kedua-dua Najib dan Hadi telah bertemu sejurus sebelum itu.
“Ini seolah-olah menggambarkan ‘tahaluf siyasi’ antara Umno dan Pas telah termeterai. Jika dahulu hanya ‘ijab’, sekarang semacam sudah ‘kabul’," katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis Syura Ulamak Pas baru-baru ini sebulat suara mengambil keputusan menamatkan kerjasama politik dengan PKR secara serta-merta dan keputusan itu dibuat sebagai merujuk kepada tindakan PKR melanggar beberapa syarat kerjasama politik antara Pas dan PKR yang terjalin sejak sekian lama.
Ketua Pesuruhjaya Pas Selangor Sallehen Mukhyi berkata, mereka akan kekal dalam kerajaan negeri untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan memastikan DAP “tidak membuat kerja jahat” walaupun banyak pihak mendesak parti itu melepaskan jawatan exco.
Hari ini, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin yang dipetik Oriental Daily berkata, parti itu mungkin mencapai “kata sepakat” dengan Umno untuk tidak melawan satu sama lain di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim menyifatkan masalah rakyat lebih penting daripada isu politik seperti itu, tetapi beliau turut mengakui kepentingan muafakat politik dalam menghadapi Umno dan BN.
“Pertimbangan terbaik wajar diambil atas kemaslahatan rakyat, bukan atas kepentingan survival politik dan peribadi semata-mata seperti agenda Umno dan PAS,” katanya.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, parti itu akan membincangkan kedudukan Pas dalam kerajaan negeri pada mesyuarat Biro Politiknya malam ini.
Jawatankuasa Pas Pusat pula dijangka membuat keputusan Khamis ini berhubung kedudukan tiga exconya di Selangor iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

Bekas pemimpin Pas minta Melayu bersatu

Bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa mengingatkan orang Melayu Islam agar bersatu bagi mengelak keganasan dan peperangan yang berlarutan di Timur Tengah berlaku di negara ini.
Pengerusi Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (YGMM) itu berkata, tiada sebab untuk orang Melayu berpecah memandangkan dilahirkan sebagai Melayu dan beragama Islam.
"Persoalannya adakah itu (konflik di Asia Barat) yang kita mahu berlaku di Malaysia? Adakah itu harapan kita untuk Malaysia apabila tidak wujud keseragaman dalam suara ummah untuk bersatu?
“Kita dijadikan sebagai Melayu dan Islam, tidak ada faktor yang menyebabkan kita tidak boleh bersatu,” katanya seperti dipetik dari akhbar Utusan Malaysia hari ini.
Beliau yang masih berstatus ahli Pas itu berkata demikian sebagai panelis pada forum bertajuk ‘Konflik Timur Tengah Yang Tidak Berkesudahan: Siapa Lawan Siapa?’ di ibu negara semalam.
Menurutnya, masyarakat Arab di Asia Barat masing-masing berpecah sama ada daripada segi mazhab iaitu syiah dan sunni manakala sunni pula berpecah lagi dengan pelbagai kelompok.
Turut hadir pada forum anjuran Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur itu ialah Presiden DMDI, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani.
Nasharudin yang menggantikan Datuk Saifuddin Abdullah di YGMM itu sejak 2015 pernah dikaitkan dengan siri 'rundingan sulit' menubuhkan kerajaan perpaduan antara Pas dan Umno tetapi berjaya dihalang Mursyidul Am Pas ketika itu, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Bekas Ahli Parlimen Bachok itu dilihat mesra dengan Umno bahkan menyertai rombongan Presiden Umno, Najib Razak untuk bertemu tokoh ulama Arab Saudi selepas tersingkir daripada pimpinan tertinggi parti dalam Muktamar Tahunan Pas 2011.

Exco Selangor: Pas perlu faham perlembagaan sebelum heret sultan

Pas seharusnya memahami kedudukan parti itu dalam Kerajaan Negeri Selangor menurut perlembagaan, sebelum mengheret sultan ke dalam kecelaruan yang timbul selepas parti itu menamatkan kerjasama politik dengan PKR.
Peguam dari Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Zulqarnain Luqman berkata, pemahaman terhadap prinsip perlembagaan itu adalah cerminan sama ada Pas bersedia atau tidak untuk menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam bahawa tiada sebarang arahan untuk melepaskan jawatan exco kerajaan negeri kepada tiga anggotanya, malah segala keputusan sama ada mengekalkan khidmat mereka bergantung penuh kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Keanehan dalam kenyataan media itu adalah bagaimana Timbalan Presiden Pas itu cuba berselindung di sebalik Sultan Selangor dan tidak menggunapakai prinsip perlembagaan.
"Dalam konteks perlembagaan, sultan akan bertindak mengikut nasihat menteri besar khasnya mengenai pelantikan atau pemecatan seorang exco. Ini bermakna keputusan untuk mengekalkan ketiga-tiga exco Pas itu bukan atas dasar kehendak sultan tetapi kehendak menteri besar.
"Kenyataan media timbalan presiden itu lebih kepada untuk menjawab tanda tanya orang ramai kenapakah ketiga-tiga exco Pas itu tidak mahu meletakkan jawatan padahal mereka sudah membatalkan hubungan dengan PKR," katanya.
Mengulas lanjut, Zulqarnain berkata, adalah lebih baik jika Tuan Ibrahim menyatakan bahawa ketiga-tiga exco itu masih mengekalkan jawatan kerana mereka masih mendukung prinsip ‘collective responsibility’ dan segala dasar kerajaan negeri meskipun hubungan politik telah dibatalkan.
Beliau menjelaskan, mengikut prinsip perlembagaan, seorang menteri besar itu akan dilantik jika beliau mendapat kepercayaan daripada majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Dun).
Selepas itu, menteri besar akan melantik exco-exco yang akan menjadi barisan kabinetnya.
"Antara prinsip yang penting berkaitan jawatan exco ini adalah prinsip ‘collective responsibitliy’ (tanggungjawab bersama) atas segala dasar yang dibuat oleh menteri besar. Seseorang exco tidak boleh bertindak bercanggah dengan ketetapan yang dibuat oleh menteri besar dalam isu-isu berkaitan pemerintahan negeri tersebut," jelasnya.
Menurut beliau, dalam hal ini, menteri besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memilih untuk mengekalkan exco-exco Pas yang ada yang bergantung kepada budi-bicara seorang menteri besar.
"Sekiranya menteri besar itu berpendapat bahawa tindakan exco-exco itu tidak bercanggah dengan ketetapan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri maka exco-exco itu masih boleh kekal dalam kabinet beliau.
"Sehingga kini, masih belum ada apa-apa tindakan exco-exco itu yang dilihat bercanggah dengan polisi kerajaan negeri sehingga menimbulkan keaiban kepada menteri besar.
"Sedikit kejanggalan adalah wujud perbezaan fahaman politik antara mereka. Mungkin model kerajaan Selangor ini adalah gambaran awal bagaimana sebuah kerajaan campuran antara pelbagai parti yang berbeza pandangan politik boleh dibentuk selepas PRU14 nanti," katanya.
Justeru, kata beliau, bagi seorang ahli politik yang memegang jawatan tinggi sebagai timbalan presiden Pas, Tuan Ibrahim seharusnya lebih faham bahasa undang-undang dan perlembagaan.

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger